Friday, December 03, 2004

Usia 11 Bulan (13 Nov - 12 Dis 2004)

Aku terus membesar. Semalam seperti biasa ayah bawa berjalan-jalan di luar rumah waktu petang selepas balik dari rumah Mak Ngah. Tapi kali ni ayah biarkan aku berdiri di tepi pangkin depan rumah Cikgu Zek. Ramai la kakak-kakak dan abang-abang (jiran-jiran aku la) yang datang pegang tangan, pegang pipi dan nak berbual dgn aku. Aku pun apa lagi, layan la dengan bahasa yang aku sdr tak faham. Tapi diorang tu macam faham pulak apa yang kluar dari mulut aku.
Ada sorang budak sebaya aku tinggal di rumah nombor 27. Dia lahir pada 23 Jan (aku 13 Jan). Kakak dia selalu bawa dia naik basikal warna pink, jealousnya aku. Ayah aku bawa naik dukung je. Aku nak tumpang naik sama ayah tak kasi. Dia selalu lambai kat aku, aku senyum je la. Nak tanya nama tak tau nak cakap. Nasib baik ayah ringan mulut nak tanya mak dia, rupanya nama dia Nur Fitriyah. Putih melepak, lebih putih dari aku, tapi dia tak tumbuh gigi lagi, gigi aku dah banyak dah, atas bawah dah tumbuh gigi, 7 batang semuanya.

Wednesday, December 01, 2004

Usia 10 Bulan

Dalam bulan kesepuluh, aku dah pandai merangkak, tak main dah menjulur-julur tu. Aku juga dah berdiri dengan lebih stabil dan berjalan sambil menyusur dinding atau kerusi.
Dari segi verbal, ada peningkatan sikit dalam mengeluarkan bunyi-bunyi seperti ma, mak, e mak; ka ka, ka kak, kakoi; pa pa, o pa, o pah, ketawa dan mengangis.
Makanan harian ialah susu Bebelac (cuba minum susu Nespray tapi sakit perut, cirit), nasi kanji bersayur, Rx Water dan apa-apa sajalah yang disuap.
Sakit angin pasang tak sembuh lagi, kalau menangis atau meneran mesti keluar punyer. Kelam kabut la ayah sapu minyak urut, baru lega sikit.
Aku seronok kalau ayah bawa jalan-jalan kat luar, boleh tengok air hujan, ayam, kucing, anjing dan lain-lain. Pokok-pokok yang menghijau kat luar rumah tu menyegarkan mata memandang sambil mendengar siulan burung dan kokokan ayam jantan.

Tuesday, November 30, 2004

Bulan Pertama


Tidak banyak perubahan yang berlaku dalam bulan pertama. Aku hanya minum susu, tidur dan belajar gerak-gerakkan anggota badan terutamanya jari, tangan kaki dan kepala. Kalau lapar dan sakit aku hanya menangis sebagai cara berkomunikasi dengan ibu dan ayah. Ketika jaga aku cuma perhatikan benda-benda yang ada di sekelilingku. Aku tatap wajah-wajah ibu, ayah dan abang yang sentiasa berasa di sampingku. Kusimpan segalanya dalam memori tanpa memahami apa-apa.

Gambar Hari Lahir


Wajahku pada hari pertama dilahirkan.Posted by Hello

Saat Kelahiranku

Selama sembilan bulan lebih aku berada dalam kandungan ibuku, aku dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Dari semasa ke semasa ibu dan ayah melihat perkembangan diriku melalui mesin ultra-sound di Klinik Harmoni.
Ibu amat risau kerana suatu hari ibu terpaksa membunuh seekor ular yang masuk ke dalam rumah kami. Walaupun orang tua-tua melarang ibu yang mengandung mencederakan atau membunuh haiwan tertentu kerana takut kenan pada anak yang dikandung, tetapi ibu terpaksa buat begitu kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga jika dibiarkan ular itu berada dalam rumah. Selepas dibuang ular itu tepi longkang, tiba-tiba ular itu hilang.
Ibu dan ayah amat gembira apabila diberitahu aku membesar dengan sempurna dan sihat. Maklumlah aku hanya ada seorang abang yang sudah berusia 12 tahun. Kehadiranku amat dinanti-nantikan.
Pada pagi Ahad, 11 Januari, ibuku sudah berasa tanda-tanda awal bahawa aku sudah sedia untuk keluar dari kandungan ibu. Ayah telah membawa ibu ke Hospital Ipoh dan terus dimasukkan ke wad bersalin. Pada jam 7 malam, Isnin 12 Januari ibu telah dibawa ke Bilik Bersalin. Hingga jam 12 malam ibu masih 'bertarung' untuk melepaskan aku keluar. Ayah diberi peluang untuk menemani di sini ibuku. Tiba-tiba ayah melihat aku sudah menjenguk keluar, lantas ayah memanggil jururawat bertugas bagi membantu menyambut kehadiranku di dunia ini pada jam 0.32 pagi, Selasa 13 Januari 2004. Aku dilahirkan dengan selamat, ibu juga selamat dan kami tidak mempunyai apa-apa masalah serius. Sebaik sampai di wad semula ayah telah melaungkan azan dengan suaranya yang serak-serak basah. Dapat kurasa ayah agak sebak dan terharu kerana selepas 12 tahun abang Hafiz membesar, barulah ayah dapat seorang lagi cahayamata.
Keesokannya ayahku telah menjemputku bersama ibu dengan kereta Pak Cik Pian yang baru dibeli sehari sebelum itu, Proton Iswara AEY 2120, untuk dibawa pulang ke rumah kami di Taman Tanjung Mewah, Ulu Kinta. Abang Hafiz, datuk dan nenek dari sebelah ibu dan ayah serta saudara-mara yang lain hadir beramai-ramai untuk melihat wajahku dari dekat. Selepas itu tinggallah aku dalam keluarga bagi menjalani kehidupan sebagai seorang insan yang disayangi dan dikasihi oleh ibu, ayah dan abang.